Sabtu, 4 Ogos 2012

Hidayah itu milik Allah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

           'Jom kita pergi masjid. Solat di masjid lebih afdal dan lebih besar pahalanya.' 'Alah, kau pergilah dulu. Aku letih ni. Solat kat rumah je', Leman menarik semula selimut di badan. Ahmad mengelang-gelangkan kepalanya. Sampai sekarang, sudah banyak kali dia mengajak kawannya itu solat subuh berjemaah di masjid dekat kawasan perumahan mereka. Namun hati Leman tidak tergerak sedikit pun untuk mengikuti Ahmad. Kadang-kadang Ahmad menyalahkan dirinya kerana tidak pandai memujuk Leman . Pernahkah anda mengalami situasi seperti di atas? Anda kecewa kerana tidak berjaya memujuk orang yang paling rapat dengan anda ke arah kebaikan. Tatkala perasaan ini menyelinap dalam diri anda, kenangkanlah perasaan junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhamad s.a.w., apabila ajakan Baginda memeluk agama Islam ditolak oleh Abu Lahab, bapa saudara Nabi sendiri. Sudah pasti, hati Nabi amat sedih bukan. Begitu juga keadannya dengan Nabi Nuh dan anaknya; Nabi Ibrahim dengan bapanya. Walaupun terdapat figure besar dalam keluarga sekalipun, tidak bermakna mendapat hidayah jika bukan dari Allah.

          Allah berfirman yang bermaksud: "Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-olah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman." (Surah Al-An'am, ayat 125)

         Justeru itu, pendekatan yang boleh dilakukan dalam berdakwah ialah mengajak dengan hikmah atau kebijaksanaan; dan memberi contoh teladan yang baik serta bertukar-tukar fikiran @ berdialog dengan cara yang baik.

         "Leman, jom pergi solat". "Iyalah aku ikut ni". Leman bingkas bangun lalu mengambil wuduk dan mengenakan pakaian bersih. Ahmad tersenyum. Alhamdulillah, doanya yang tidak putus agar memberi hidayah kepada kawannya ini dimakbulkan Allah.

Imaginasi Cemerlang.

Assalamualaikum..

      Bulan Ramadhan sudah hampir tiba melabuhkan tirainya. Sudahkan kita beramal dengan sepenuhnya dalam bulan penuh barakah ini? Jika belum, masih belum terlewat menghiasinya dengan amal soleh dan amal ibadah kepadaNya. Insya-Allah, moga satu Syawal yang bakal menjelma, kita akan menjadi individu baru yang penuh dengan keiltizaman untuk berjaya.

      Bercakap mengenai soal kejayaan, hari ini saya ingin memperkatakan tentang satu konsep yang saya ketemu dalam buku Unlimited Power. Bagi saya buku ini sangat hebat kerana ia mempunyai informasi yang sarat tentang  sains dalam pembangunan diri. Sebagai individu kita semestinya tidak dapat lari daripada mempunyai tabiat negatif yang secara tidak sedar telah bersarang dalam diri kita sejak dahulu lagi. Contohnya, suka menangguhkan kerja, menggigit kuku jari, suka tidur lewat malam dan sebaginya. Kita sedar tabiat tersebut tidak elok untuk kemajuan diri dan cuba untuk merubahnya. Namun, peta yang menjadi laluan tabiat  dalam minda begitu kukuh sehinggakan menjadi sebahagian dari diri kita. Anda frust, kecewa..... Jika anda sudah bertemu dengan jalan buntu, apa kata cuba aplikasikan strategi yang akan saya kongsi nanti; 'Slipshot Swish Pattern'. Cuba anda bayangkan gambar anda dengan tabiat negatif di tengah-tengah. Kemudian, bayangkan pula gambar anda dengan tabiat baru yang diingini (tabiat positif), yang diletakkan pada lastik. Lastik tersebut dijarakkan sejauh mungkin daripada gambar anda ditengah-tengah tadi. Setelah itu, lepaskan lastik dan lihatlah gambar kecil (tabiat positif) anda menembus ditengah-tengah gambar anda (tabiat negatif) sehinggakan tidak lagi kelihatan gambar tersebut. Yang anda hanyalah gambar anda dengan tabiat baru yang diingini. (tabiat positif)

        Cuba anda lakukan strategi ini berulang kali sehingga tabiat baru yang positif benar-benar menjadi sebahagian dari diri anda. Akhir kalam, ciptalah imaginasi cemerlang demi masa depan yang gemilang.

Sabtu, 14 Julai 2012

Syukur, satu sains kehidupan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

        Tatkala catatan ini ditulis, saya memerhatikan gelagat manusia disekeliling. Ada yang berjalan dengan penuh yakin, senyuman terukir dibibir, dan ada juga  berjalan dengan langkah yang longlai, wajah lesu  mempamerkan kesedihan. Terdetik di hati, apakah perkara yang bermain di minda setiap manusia sehinggakan perilaku mereka berbeza-beza. Hakikatnya mereka tetap sama iaitu masih manusia, masih bernyawa, dan masih diberikan peluang untuk mencipta kejayaan.

       Setelah beberapa ketika, setelah membaca dan mengkaji, saya ketemu dengan satu disiplin yang cukup menarik; iaitu disiplin syukur. Syukur merupakan disiplin sains yang semakin dipinggirkan. Mengapa ini berlaku? Sifat manusia yang tidak puas dengan apa yang ada sentiasa berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kekayaan. Bagi mereka, kekayaan adalah segala-galanya. Kaya memberikan kebahagiaan. Kaya kunci mencapai apa yang dihajati. Kaya menjadikan kita manusia mulia dan terpandang. Kaya memberikan ketenangan jiwa. Benarkah begitu? Namun, mengapa sejarah menyimpan kisah-kisah manusia kaya yang gersang jiwanya. Si kaya yang sombong. Mereka yang kaya namun mengalami keruntuhan institusi kekeluargaan. Marilyn Monroe, si jelita yang menjadi lagenda, namun mengalami pengakhiran hidup yang menyedihkan. Begitu juga Amy Winehouse, Michael Jackson, Kurt Cobain yang maut akibat mengambil dadah secara berlebihan. Mereka semuanya kaya namun tidak bahagia. Kenapakah situasi ini berlaku? Jawapannya mereka kekurangan satu elemen nilai dalam diri yang amat penting iaitu syukur.

        Syukur merupakan motivasi dan daya penggerak manusia. Syukur juga merupakan intipati kepada jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang membuahkan kebahagiaan dan kejayaan yang gemilang. Satu kisah yang boleh menjadi inspirasi kepada kita ialah kejadian yang menimpa W. Mitchell. Beliau terbabit dalam kemalangan dengan sebuah trak yang menyebabkan sebahagian besar badannya mengalami "third-degree burns". Sesetengah insan lain mungkin akan mengalami stress dan meminggirkan diri dari arus kehidupan. Apakah reaksi W. Mitchell? Beliau sebaliknya mengambil pendekatan bersyukur masih dapat hidup. Beliau secara konsisten berkomunikasi pada diri yang pengalaman itu terjadi sebagai mempunyai hikmah disebaliknya. Beliau meneruskan bisnesnya dan tidak pernah berpaling ke belakang lagi, walaupun selepas itu beliau terbabit pula dengan kemalangan udara yang menyebabkannya lumpuh dari pinggang ke bawah. Beliau masih mampu tersenyum dan bersyukur kerana dapat hidup lagi, dan terus mencipta kejayaan yang seterusnya.

          Firman Allah SWT:  "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim 14:7)

         Sekiranya W. Mitchell seorang bukan Islam mampu mengambil hikmah di atas apa yang terjadi dan sentiasa mengamalkan konsep bersyukur; apatah lagi kita sebagai Muslim dan Muslimah. Fikir-fikirkanlah..
      

Rabu, 4 Julai 2012

Apakah nikmat itu pahit.. atau musibah itu manis? Fikir-fikirkanlah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

          Bertemu semula dalam ruangan catatan Andalah Pencipta Sejarah. Pada catatan kali ini ingin sekali saya memperkatakan tentang soal hati. Persoalan hati merupakan isu yang popular sepanjang zaman. Ianya menjadi semakin hangat dewasa ini apabila masyarakat menghadapi masalah gejala sosial yang kian meruncing. Tahukah anda punca kekalutan ini? Jawapannya ialah masyarakat kita semakin manja. Teknologi dan gaya hidup yang tidak sihat menjadikan kita semakin manja. Jika anda tidak bersetuju, mari kita hayati catatan saya pada hari ini.

         Hati sifatnya begitu halus. Jika mendapat nikmat, ia gembira, tetapi jika terkena musibah, ia akan berkeluh-kesah. Begitulah sifat hati yang digambarkan sendiri di dalam al-Quran. Justeru, bagaimana untuk menghadapi fenomena hati ini? Tidak lain melainkan hati kembali tunduk kepada Allah SWT. Setiap individu perlu sedar yang Allah menyediakan hikmah kepada hamba-Nya yang diuji. Daripada Abd. al-Rahman b. Azhar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,"Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.

       Sifat hati juga merasa gembira tatkala mendapat nikmat. Nikmat perlu disyukuri bukan perkara untuk dibangga-banggakan. Persoalannya, benarkah apa yang kita suka itu baik untuk kita atau pun musibah yang kita cuba elak itu adalah yang terbaik buat kita?

      Firman Allah,
      "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya"- Surah al-Baqarah 2:216

      Cuba kita ambil satu kisah seorang lelaki yang dipenjarakan. Beliau menghabiskan masanya di penjara dengan berkarya. Antara karyanya yang hebat bertajuk,'Tenggelamnya Kapal van der wijck'. Beliau ialah Allahyarham Prof. Hamka. Kisah yang lain pula, seorang wanita yang berpisah dengan suaminya terpaksa membesarkan anak-anaknya seorang diri. Kini beliau bergelar seorang jutawan dengan menerbitkan novel Harry Potter. Beliau ialah JK Rowling.

      Mengikut pakar motivasi Anthony Robbins, "Anything you want that's valuable requires that you break through some short-term pain in order to gain long term pleasure". Di sini apa yang berlaku pada diri kita tidak penting, tetapi apa yang kita tafsir daripada pengalaman itulah yang penting. Justeru itu, pendekatan terbaik dalam menghadapi sesuatu sama-ada musibah atau nikmat ialah dengan menganggap hidup ini merupakan sekolah pengalaman. Umpama masakan yang terhasil daripada kombinasi pelbagai bahan dan rempah-ratus, begitulah juga hidup itu sendiri.

      Semoga hati kita mampu menerima segala ketentuan Ilahi dengan lapang dada, kerana sesungguhnya apa yang ditakdirkan Allah SWT itulah yang terbaik buat kita.

    

Selasa, 26 Jun 2012

Sederhana, mendekati fitrah.

      
       Sederhana, dalam perkataan Arabnya; wasatiyyah, dan dalam bahasa Inggerisnya moderate. Sederhana yang dimaksudkan di sini ialah bersederhana dalam berpakaian, gaya hidup , tingkah laku dan dalam perbelanjaan kita sehari-hari. Kenapa kita perlu sederhana sedangkan gaya hidup moden sekarang menuntut kita nampak hebat agar dihormati dan disegani. Saya ingin bertanya, hebatkah kita jika terpaksa berhutang keliling pinggang hanya untuk nampak mewah? Tenangkah kita, tidur di malam hari memikirkan keselamatan harta benda dalam rumah? Bahagiakah kita bekerja siang dan malam mencari duit sedangkan anak, isteri di rumah kegersangan kasih sayang?

       Saudaraku sekalian, kebahagiaan tidak boleh diukur dengan kemewahan harta benda, jauh sekali dengan kehebatan individu dari segi populariti dan penampilan. Kebahagiaan adalah subjektif sifatnya. Namun, untuk bahagia ada prasyaratnya. Apakah syarat-syarat untuk bahagia? Untuk bahagia memerlukan jiwa yang tenang dan damai. Mana mungkin bahagia bertamu dalam hati mereka yang penuh hasad dengki, pendendam, penuh kebencian dan hanya mementingkan diri sendiri. Bahagia hanyalah untuk mereka yang selalu menghulurkan senyuman ikhlas pada setiap manusia: sentiasa berbuat amal kebajikan kerana Allah SWT dan sentiasa muhasabah diri agar menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah. Antara syarat yang lain untuk bahagia ialah sederhana atau wasatiyyah.

      Fitrah manusia sewaktu lahir adalah suci dan murni. Umpama kain putih, begitulah persisnya ungkapan sederhana. Sederhana dalam makan minum, kita akan menjadi lebih sihat. Sederhana dalam percakapan, kita akan lebih banyak bekerja dan ini akan meningkatkan produktiviti. Sederhana dalam perbelanjaan, kita akan berjimat cermat dan dapat merancang kewangan dengan lebih baik. Begitulah sifatnya sederhana, akan memberi kejayaan pada pengamalnya. Justeru itu, bersederhanalah anda, kerana sederhana mendekati fitrah.

Ahad, 24 Jun 2012

Apakah impian anda?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

          Impian.. Seindah namanya, semurninya tujuannya, impian merupakan dorongan terbesar manusia dalam hidup. Jadi, apakah impian anda? Jika anda tiada impian, maka sudah pasti anda cuma individu biasa. Individu biasa melewati denai kehidupan dengan pandangan kosong. Cuba tanya pada diri, apakah impian saya. Sewaktu kecil, tatkala ditanya apa adik nak jadi bila besar nanti, maka keluarlah impian yang besar-besar.. doktor, peguam, cikgu, pensyarah, ahli astronomi, ahli perniagaan malah ultraman sekalipun. Tapi apabila usia meninjak dewasa, mengapa segala impian terkubur begitu sahaja? Mengapa tidak direalisasikan impian yang telah kita pupuk sewaktu kecil?

        Tahukah kita, sewaktu impian anda sudah tiada, hidup mula hambar dan kosong. Tiada lagi pelangi memanyungi perjalanan hidup. Tiada lagi keghairahan untuk hidup. Yang ada cuma seorang individu biasa yang melaksanakan tugas-tugas hariannya sekadar untuk meneruskan kelansungan hidup. Mahukah anda melewati hari-hari yang menghambarkan seperti itu? Kawan, menempuh hari tanpa impian besar adalah sangat panjang dan membosankan. Garis senyuman di bibir juga tidak semanis dan seceria sewaktu  kecil-kecil dulu.

        Jadi, apakah impian anda? Jika anda sudah menyakini kepentingan impian, masih tidak terlewat untuk menghidupkannya semula. Di sini saya ingin membawa satu kisah benar, impian seorang pemuda untuk menjadi rakan kongsi kepada Thomas Alva Edison, seorang pencipta terulung pada zamannya. Edwin C. Barnes pada ketika itu hanyalah insan biasa. Tapi, beliau mempunyai cita-cita besar iaitu  menjadi rakan kongsi kepada Edison. Itulah cita-cita dan obsesinya, tiada yang lain sehinggakan beliau mengatakan, "I will burn all bridges behind me, and stake my entire future on my ability to get what I want".

       Pada mulanya, Barnes hanyalah pekerja biasa dalam organisasi Edison; melakukan kerja-kerja yang tidak penting. Tetapi, impian Barnes semakin bersemarak dari sehari ke sehari sehinggalah terjadi satu kejadian yang telah memungkinkannya untuk menjadi rakan kongsi kepada Edison. Tatkala Edison berjaya mencipta Ediphone (Edison Dictating Machine), jurujual dalam organisasi Edison tidak percaya yang ia mampu terjual kecuali Barnes. Barnes tahu yang dia mampu menjual alat tersebut. Dia akhirnya mendapat kepercayaan Edison menjual alat tersebut. Dia bukan sahaja dapat mejualnya, tetapi berjaya menjual dengan cemerlangnya sehinggakan Edison memberi kontrak  untuk memasarkannya ke seluruh negara.

       Jadi, apakah pengajaran daripada cerita di atas? Ya, impianlah pencetus kejayaan Barnes. Segala-galanya bermula dengan impian. Impian yang membara untuk merealisasikannya.
                 
                                         
                                       
                                                                                   

Sabtu, 23 Jun 2012

Ramadhan, hadirmu ku nanti, semangatmu kurindui..

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

        Diam tak diam ada beberapa minggu lagi untuk kita melangkah ke bulan Ramadhan; bulan yang penuh dengan keberkatan. Sudahkah kita bersedia menyambut kedatangan bulan pengampunan Allah SWT ini? Bulan dimana pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Pada tika itu, alam pun berseri dan ceria kerana padanya terdapat malam lailatul qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan.

      Sememangnya sungguh banyak kelebihan bulan Ramadhan ini. Jika hendak dirungkaikan semuanya, pasti tidak habis catatan tertulis. Di sini saya senaraikan antara fadhilat bulan Ramadhan bagi mereka yang berpuasa :

1.  Mendapat balasan syurga.
2.  Dikabulkan permintaannya oleh Allah SWT.
3.  Mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka dan bertemu dengan Allah SWT pada hari kiamat kelak.
4.  Mendapat peliharaan Allah SWT.
5.  Dijanjikan Allah SWT mahligai yang indah disyurga.
6.  Setiap kali sujud, dikurniakan 1700 kebajikan, dibinakan mahligai disyurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

      Justeru itu, saya menyeru kepada semua umat Islam marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Ramadhan ini dengan ibadah khusus dan umum ikhlas kerana Allah SWT. Sematkan dalam diri semangat yang kental untuk meraih keampunan dan rahmat Ilahi. Mudah-mudahan kita dapat bertemu dengan malam lailatul qadar, malam yang dirindui oleh orang-orang yang beriman dan mengharapkan syurga Allah SWT, amin..

Khamis, 21 Jun 2012

Permata di tangan anda.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

         Pagi yang sungguh mendamaikan. Alhamdulillah.. Sambil menghirup teh 'o' panas berserta dengan 'egg tart', betul-betul memberi semangat baru pada saya hari ini. Apa tidaknya, sebagai rakyat Malaysia, saya betul-betul bangga dengan pencapaian saudara Azree Shahrel dilantik sebagai felo Universiti Cambridge. Untuk pengetahuan anda semua, beliau merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik memegang jawatan tersebut. Tahniah sekali lagi saya ucapkan pada beliau. Malaysia boleh !

        Tatkala melihat pencapaian beliau ini, saya berkata pada diri, pengiktirafan terhadap individu bukan bergantung kepada agama, warna kulit atau bangsa, tetapi berdasarkan bakat istimewa individu terbabit. Itu pencapaian di peringkat global. Sepertimana kata pepatah, setiap pencapaian hebat bermula dengan pencapaian atau kejayaan yang kecil. Saudara Azree mesti bertatih dahulu sebelum berjaya menggapai bintang.

       Justeru itu, saya menyeru kepada ibu-bapa di luar sana untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak. Pendidikan yang disulami kata-kata lembut dan berhikmah pasti akan melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Jangan remehkan kejayaan anak yang kecil, kerana siapa tahu anak anda itu mungkin mengikut jejak langkah saudara Azree yang seterusnya, insya-Allah.

                  ' A Quitter Never Wins, And A Winner Never Quits'.

Sabtu, 16 Jun 2012

Jati Diri.. Antara realiti dan fantasi.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

      Dalam beberapa hari ni saya agak sibuk dengan tugasan di sekolah. Justeru itu, sudah agak lama juga  tidak up-to-date dengan post yang terbaru. Terasa rindu pula nak menukilkan sesuatu dalam blog saya ni. Kawan-kawan semua bagaimana? Saya harap sihat hendaknya bersama keluarga tercinta, insya-Allah. Baiklah seperti mana tajuknya jati diri, artikel hari ini membawa anda menelusuri dalam diri sendiri apakah jati diri anda.

     Jati diri secara ringkasnya bermaksud prinsip hidup yang menjadi tunjang hidup anda. Selain itu, ia juga boleh dikatakan daya tahan anda dalam menghadapi cabaran hidup. Anda dikatakan mempunyai jati diri yang tinggi jika anda tetap berpegang prinsip hidup yang luhur dan murni walaupun berdepan dengan gaya hidup yang negatif seperti budaya hedonisme, materialistik dan sebagainya. Anda tetap menjadi diri anda yang sebenar walaupun dihambat kekangan material, desakan rakan sebaya atau teman sekerja. Itulah jati diri anda dan tidak ada sesuatupun dalam dunia ini dapat merubahnya. Apakah kebaikannya mempunyai jati diri ini? Tidakkah baik jika kita mengikut peredaran semasa? Nanti orang kata kita kuno atau ketinggalan zaman pula.

     Wahai sahabatku, pernahkah anda mendengar orang mencipta kejayaan atau kekayaan dengan menjadi pengikut? Biasanya orang yang berjaya sering menentang arus. Menentang arus disini bukan bermakna memberontak atau melakukan tindakan agresif. Mereka ialah individu yang mempunyai prinsip, punya hala tuju, matlamat hidup dan punya jati diri. Sekadar meminjam kata-kata daripada penulis terkenal Napoleon Hill dalam bukunya 'Think And Grow Rich', 'Jika sesuatu yang anda ingin lakukan itu betul, dan anda mempercayainya, maka lakukanlah! Letakkan impian anda dihadapan dan jangan peduli apa yang orang akan kata jika anda berhadapan dengan kekalahan sementara. Mereka tidak tahu sebenarnya, setiap kegagalan itu membawa bersama-samanya benih kejayaan'.

     Justeru itu, perkuatkanlah jati diri anda. Tetaplah tekun dengan cita-cita dan impian anda. Ingatlah, 'Whatever The Mind Of Man Can Conceive And Believe It Can Achieve'.

Khamis, 7 Jun 2012

Raihlah bintang, petiklah bulan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

      Mungkin ada dikalangan anda tersenyum membaca tajuk di atas. Ya, teruskan tersenyum kerana tiada yang mustahilnya bagi yang berminda cemerlang. Sejarah membuktikan dengan berbekalkan teknologi canggih, bulan bisa ditakluk. Dengan keazaman membara, lampu berjaya dicipta. Bayangkan, setelah 10,000 kali percubaan, akhirnya Thomas Alva Edison berjaya menghasilkan sesuatu yang menjadi revolusi dalam sejarah.

      Pakar motivasi telah menggariskan; setiap kejayaan yang gemilang akan mengalami kegagalan sementara (Temporary defeat). Keazaman yang kuat dan konsistensilah yang mampu membawa individu ke puncak kejayaan. Perumpamaan Inggeris ada menyebut; "Failure cannot cope with persistence"(Kegagalan tidak mampu bersaing dengan konsistensi). Rata-rata individu berjaya ialah mereka yang berhati waja. Semangat mereka kuat umpama besi. Mereka tidak kisah apa kata orang. Jika anda telusuri sejarah Mr. Honda dalam membina empayer Honda Corporation, anda pasti kagum dengan tahap konsistensi beliau.

      'Piston ring' yang dicipta dengan sepenuh tenaga dan susah payah telah ditolak oleh Syarikat Toyota atas alasan tidak mengikut spesifikasi yang diperlukan syarikat. Jika Honda berhati lemah, tentu kereta honda tidak akan kelihatan dijalan raya seluruh dunia. Tetapi apa tindakan Mr. Honda? Dia tetap meneruskan usahanya membaikpulih ciptaannya sehinggalah 2 tahun kemudiannya, Toyota Corporation menerimanya. 'God delays are not God denials'.

     Justeru, jika anda mula terasa putus asa, tetaplah komited dengan keputusan anda , dengan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya tidak kira apa jua keadaan secara konsisten. Dengan itu teruslah berusaha sambil berdoa kepada Allah S.W.T. agar tercapai segala impian dan cita-cita kita.

Rabu, 6 Jun 2012

Pemikiran Global vs Pemikiran jumud.

     Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kita dalam catatan pagi, moga setiap dari kita mendapat rahmat dariNya, insya-Allah. Pagi yang mendamaikan ini bertambah berseri lagi  dengan kehadiran siulan burung-burung yang menggamit jiwa. Segala kesyukuran haruslah dipanjatkan kepada Allah S.W.T yang telah memberi nikmat kesihatan kepada kita. Justeru itu, dapatlah kita menikmati pagi nan indah ini bersama secangkir kopi disisi.

     Saya terpanggil untuk menulis artikel ini sewaktu sedang menunggu giliran di salah satu kaunter pembayaran bil. Sedang asyik menunggu, saya melihat ramai orang yang sedang meunggu; menanti giliran seperti saya juga. Ada yang sedang duduk menyilangkan kaki; ada yang duduk sambil menekan punat di handset dan tidak kurang juga yang termenung dikerusi sambil menanti giliran nombor dipanggil. Situasi ini juga kerap berlaku di dalam komuter di mana penumpang hanya duduk melayan diri tanpa melakukan apa-apa. Banyak sungguh berlaku pembaziran masa di sini. Alangkah baik jika masa sedang menunggu tersebut diisi dengan aktiviti bermanfaat seperti membaca. Situasi ini sangat jarang berlaku di negara matahari terbit; iaitu Jepun. Rakyat mereka sangat gemar membaca. Di mana-mana sahaja jika terdapat masa terulang, mereka akan isi masa dengan membaca. Hatta, dalam 'bilik termenung' pun mereka akan membaca.

    Disini, apakah kepentingan membaca kepada kita? Membaca adalah proses menyaring maklumat di dalam minda supaya dapat diterjemahkan sebagai makna kepada kita. Membaca merupakan wadah yang paling ampuh untuk menjana idea-idea yang bernas. Dengan membaca akan timbul semangat dalam diri kita untuk berjaya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kejarlah apa yang berguna untukmu, minta bantuan daripada Allah dan jangan lemah. Apabila ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: 'Kalau begini, nescaya tidak akan begitu.' Akan tetapi katakanlah: 'Ini takdir Allah.' Sesungguhnya 'kalau' akan membuka pintu syaitan." (Riwayat Muslim) Justeru, hendaklah kita mempunyai sifat suka membaca agar terbit dalam diri semangat dan cita-cita tinggi untuk berjaya. Slogan 'Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya' ada benarnya. Cubalah kita lihat bangsa Jepun itu sendiri. Mereka merupakan bangsa berjaya. Pemikiran global mereka terjana melalui sikap suka membaca. Cuba pula kita lihat bangsa yang jumud. Pemikiran mereka sangat cetek justeru tidak mengamalkan suka membaca. Tindakan mereka adalah ikut-ikutan. Pemikiran bangsa yang jumud ini mudah terjajah. Mereka tidak mempunyai jati diri yang tinggi. Bangsa yang sedemikian rupanya akan mudah terbawa-bawa dengan budaya hedonisme. Justeru itu, jika anda sayangkan bangsa, amalkanlah budaya suka membaca.

   Sekadar meminjam kata-kata Jim Rohn, 'Formal education will make you a living, but self-education will make you a fortune'. Setakat ini dahulu untuk post kali ini, salam maju jaya dari saya.

Selasa, 5 Jun 2012

The Power Within You..

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

    Bertemu kita semula dalam ruangan 'Andalah Pencipta Sejarah'. Manusia.. Apakah yang menjadikan manusia begitu unik? Agama Islam dengan jelas menyatakan manusia merupakan khalifah Allah S.W.T. yang ditugaskan untuk menjalankan tanggungjawab mentadbir alam. Oleh kerana betapa beratnya tugas ini sehinggakan gunung pun tidak tega menanggungnya; maka dikirimkan para Nabi dan Rasul untuk membimbing manusia ke jalan diredhaiNya. Selain itu, manusia dikurniakan akal fikiran bagi menyeimbangkan tugas istimewa ini.

   Sekali lagi, apakah uniknya manusia berbanding ciptaan Allah yang lain? Jawapannya, tentu sekali mindanya. Dikatakan manusia tidak menggunakan keseluruhan potensi yang ada dalam dirinya. Otak manusia mempunyai kemampuan untuk mencari jawapan dengan lebih cepat daripada komputer tercanggih di dunia. Ia memerlukan dua bangunan yang bersaiz World Trade Centre untuk menyimpan kemampuan dan kapasiti otak kita. Alhamdulillah, dengan kehebatan ini kita mampu mencipta kecemerlangan dalam hidup. Segenap kesyukuran haruslah dipanjatkan kepada pencipta manusia itu sendiri; iaitu Allah S.W.T.

   Dengan segala kehebatan dan keunikan ini, kenapa kita tidak mampu mencapai kegemilangan dalam hidup? Kenapa kita tidak berdaya untuk keluar dari kepompong kemiskinan? Kenapa perlu berhadapan dengan situasi perhubungan yang merumitkan? Kenapa perlu hidup sederhana? Kenapa dan kenapa..?! Tatkala usia semakin meningkat, dan tenaga makin berkurang, kita mula menyalahkan takdir apabila pelangi yang diidam-idamkan masih jauh dari genggaman. 'Oh, agaknya takdir telah menentukan nasib aku begini': 'Aku tak berupaya'; malahan ada yang menyalahkan didikan keluarga. Wahai kawan, bukan salah ibu mengandung; bukan juga salah takdir.

   Seperti di medan pertempuran;  strategi juga diperlukan untuk berjaya dalam hidup. Baiklah, pada ruangan kali ini, saya akan menurunkan sedikit tip untuk berjaya. Kita sentiasa menggunakan perkataan untuk menyampaikan maklumat atau keinginan kita bukan?. Tahukah anda, perkataan itu jugalah yang mampu untuk menaik dan menjatuhkan anda. Sekadar mengambil kata-kata pakar motivasi terulung Anthony Robbins; "The power of word, both to create and to destroy". Justeru, gunakanlah setiap patah perkataan kita dengan berhati-hati. Sebagai langkah permulaan, perhatikan setiap emosi kita yang terhasil. Contohnya, apabila terjadi situasi yang menyebabkan kita bengang, perkataan yang tercetus di minda kita ialah 'marah' bukan? Apa kata tukar perkataan itu kepada relaks, atau bertenang. Saya jamin, insya-Allah reaksi anda selepas ini akan berbeza. Anda tidak lagi mempamerkan wajah masam mencuka dan melakukan tindakan agresif. Sikap anda akan lebih terkawal dan stabil.

   Justeru itu, setiap kali anda mengalami perasaan yang kurang enak, cuba amati apakah perkataan yang diproses di dalam minda anda, lalu tukarlah ia dengan perkataan yang lebih positif.

                      "Selamat Mencuba".

Ahad, 3 Jun 2012

Mirrow..mirrow of the world..

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

     Saya kira anda pernah mendengar ayat dalam tajuk di atas. Ya, jika anda pernah menonton atau membaca kisah 'Snow White and The Seven Dwarves'; tentu anda seringkali mendengar perkataan tersebut diucapkan oleh ibu tiri Snow White yang zalim. Dia merupakan permaisuri yang begitu obses dengan kecantikan. Kecantikan adalah segala-gala baginya, sehinggakan sanggup membunuh anak tirinya sendiri. Apabila satu hari cermin ajaib menyatakan yang Snow White jauh lebih cantik darinya, permaisuri tersebut dengan serta merta mengarahkan seorang lelaki membunuh Snow White. Diringkaskan cerita, Snow White terselamat daripada ibu tirinya yang kejam, dan akhirnya berkahwin dengan putera raja yang kacak.

     Apa yang ingin saya perkatakan disini sebenarnya bukanlah cerita Snow White, tetapi mengambil pengajaran daripada cerita tersebut. Oh, ya jika anda nak tahu cerita Snow White dengan lebih detail, bolehlah anda membelinya di kedai buku ya. Baiklah, apakah pengajaran di sebalik cerita ini. Pertama, kecantikan bukanlah segala-galanya. Ianya tidak kekal lama, dan akan sirna dimamah usia. Kedua, jika kita rasa kita cantik, akan ada orang lain yang lebih cantik daripada kita. Justeru, janganlah bangga sangat bila orang kata kita cantik. Namun, tidaklah salah jika kita bersyukur dengan anugerah kurniaan Ilahi.

   Jadi, apakah nilai sebenar seorang insan? Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya, Allah Taala tidak memandang bentuk tubuhmu, kedudukan mahupun harta kekayaanmu. Tetapi, Allah memandang hatimu. Sesiapa yang memiliki hati yang soleh, maka Allah mencintainya. Anak Adam yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa." (Riwayat Muslim dan al-Tabarani). Di sini, apa yang ditekankan disini ialah persoalan hati. 'Di dalam diri kamu terdapat segumpal darah yang jika baik ia, maka baiklah seluruh anggota jasad manusia; ketahuilah sesungguhnya ianya adalah hati'. Oleh kerana begitu pentingnya peranan hati dalam menentukan kehidupan manusia, maka sewajarnyalah kita mengambil berat tentang penjagaannya. Jika untuk sihat kita perlu makan makanan berkhasiat; begitu jugalah hati. Ianya memerlukan makanan yang baik untuk hidup dengan cemerlang. Jadi, apakah makanan bagi hati? Tak lain tak bukan ialah zikir kepada Allah dan melakukan amalan yang diredhaiNya. Selain dari itu, perlulah sentiasa berfikiran positif dan membina imaginasi yang cemerlang. Orang yang berhati baik akan terzahir melalui akhlak dan budi pekerti yang mulia. Oleh kerana orang yang berakhlak mulia mempamerkan wajah yang tenang dan ceria, secara automatik dia akan kelihatan cantik dan menarik. 'Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang'. Justeru, marilah kita berlumba-lumba untuk mencantikkan hati kita agar  kita mampu menjadi individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang, insya-Allah.

Sabtu, 2 Jun 2012

Sajak- Buat Insan Bergelar Suami..

Kadang hatiku tertanya,
Melewati sepi ini,
Sampai bila tiba di penghujung?
Kadang hati terdetik,
Bilakah rindu ini,
Akan terubat,
Dengan cinta, rahmah dan mawaddah?
Kadang hati meronta,
Ingin keluar dari belenggu,
Sepi dan kemusykilan ini.

Suamiku..
Dulu janjimu hiasi erti perkahwinan ini,
Dengan pengertian dan kasih-sayang,
Katamu hidup ini haus tanpa cinta kita,
Dulu janjimu sentiasa menikmati,
Secangkir kopi bersama-sama,
Dipanyungi hembusan bayu melakar sukma.

Kini,
Aku masih kesepian,
Menghitung detik,
Bilakah janjimu akan tertunai?
Berdosakah aku menagih cinta ini,
Yang telah termeterai dengan ikatan kalimah Allah?
Cemburukah aku,
Melihat kau bergelak ketawa,
Melayari bahtera rumahtangga di sana,
Sedang aku masih tertinggal,
Di pelabuhan sepi ini?

Suamiku,
Kusedar diriku hadir,
Terlewat sedetik dalam hidupmu,
Takdir Ilahi jua,
Kita berjumpa dan memasang,
Impian bahagia bersama.

Suamiku,
Ingin kutitip nasihat buatmu,
Berlaku adillah,
Kerana ku tak pasti sampai bila,
Sepi ini mampu bertahan,
Di saat kudahagakan kasih insan bergelar suami..

Rabu, 30 Mei 2012

Words Wisdom

    Bijak pandai pernah berkata "Sebatang pena itu lebih tajam daripada pedang". Persoalannya, kenapa pena amat berkuasa, sedangkan ia sekadar alat untuk menulis yang diisi dengan dakwat?
    Seseorang yang gemar membaca dan menulis tentu amat faham dengan perumpamaan di atas. Perkataan boleh merubah semangat individu daripada positif ke negatif, dan begitulah sebaliknya.
 
  ''Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit"- Surah Ibrahim.

      Justeru, kita harus berhati-hati dengan setiap patah perkataan yang dikeluarkan. Cuba biasakan diri bercakap hanya perkara positif dan berfaedah. Ok, jika anda masih kurang bersetuju dengan apa yang saya utarakan; cuba kita lakukan sedikit eksperimen.
   
    Cuba bayangkan anda sedang berjalan, tiba-tiba terdapat sebatang longkang yang agak lebar menghalang jalan anda ke seberang. Bagi mereka yang berhati kecut, sudah tentu akan berundur kerana tanpa disedari dia berkata dalam hatinya 'Kalau lompat, mesti jatuh ni'. Tapi bagi mereka yang tidak ada jalan lain ke seberang akan bertegas dalam diri dan berkata, 'Aku mesti berjaya lompat ke seberang', dan begitulah hasilnya dia akan berjaya.
 
  Sememangnya bagi yang berfikiran positif, tidak ada kesukaran baginya untuk bercakap perkara positif. Setiap patah perkataannya umpama tenaga yang mampu menghasilkan impak yang cemerlang. Jadi, cabaran saya untuk anda, dalam seminggu ini, bercakap dan berfikirlah hanya perkara yang positif dan baik-baik. Insya-Allah, anda pasti dapat rasakan perbezaannya dalam hidup. Oh, ya sebelum saya terlupa, dalam tempoh tersebut, hendaklah anda bergaul dan bercakap dengan mereka yang berfikiran positif juga. Bukan tak boleh bergaul dengan yang berfikiran negatif, cuma hadkan saja. Anda tentu faham maksud saya bukan.
Baiklah, semoga berjaya..

Isnin, 7 Mei 2012

Sajak- Sekadar renungan

Di desa kedamaian ini,
aku melihat puing-puing kemusnahan yang lalu,
dek cemar dosa manusia.
Mereka dahulunya begitu gah,
dengan bangunan, istana yang kukuh,
kagum dan hairan dengan kebijaksanaan,
dan tubuh sasa kurniaan Tuhan.
Megah dengan teknologi canggih,
yang dengannya bangsa lemah, mundur,
tunduk kepadanya.

Mereka yang dahulunya suara,
umpama guruh,
melaungkan misi kedamaian,
kesatuan manusia,
hidup serba kemewahan,
hakikatnya cuba menutup,
kelemahan dan kejahatan diri.

Sedarlah !
Segala-galanya akan terkubur,
bangunan, istana nan gah akan runtuh,
diri akan hancur dimamah bumi,
teknologi tak bisa melawan takdir Tuhan,
yang tinggal cuma puing-puing kemusnahan yang lalu,
akibat kejahatan manusia.

Insaflah !
Kebesaran itu milik Allah,
hanya kepada-Nyalah segala sanjungan.
Jangan sombong dan megah,
kerana ia umpama oasis,
di padang pasir, nampak realiti,
hakikatnya fantasi ...

Ahad, 15 April 2012

The miracle of subconscious mind

 Assalamualaikum dan salam sejahtera,

      Bertemu semula dalam ruangan catatan di pagi nan damai ini. Apa khabar semua? Saya harap semua dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya, Insya-Allah. Jika dalam blog sebelum ini, saya memperkatakan tentang konsep kejayaan, kali ini saya teruja pula dengan satu istilah yang saya kira ada di antara pembaca pernah mendengarnya ; iaitu subconscious mind atau minda separa sedar. Apa itu sebenarnya minda separa sedar?

      Minda separa sedar merupakan bahagian otak yang amat menakjubkan kerana di kawasan inilah segala arahan yang diterima melalui minda sedar dilaksanakan. Sama-ada arahan tersebut berbentuk positif atau negatif; ianya tetap dilaksanakan oleh minda separa sedar ini. Anda boleh juga katakan minda separa sedar merupakan pekerja yang paling setia. Dia tidak akan membantah, mogok atau mempertikaikan segala arahan anda. Dia tetap akan laksanakan dengan penuh rela hati. Best bukan ada pekerja seperti ini!

    Oleh kerana begitu hebatnya subconscious mind ini, persoalan yang terdetik di hati kita, kenapa tidak semua orang berjaya? Baiklah, sudah sampai masanya kita berdepan dengan realiti sebenar. Kebanyakan dari kita lebih cenderung untuk berfikiran negatif. Arahan yang berbentuk negatif ini akan diterima dan dilaksanakan oleh subconscious mind tanpa banyak bicara lagi, dan hasilnya tentulah kesan yang negatif. Sekarang, anda sudah faham bukan kenapa kita perlu berfikiran positif? Saya berharap catatan ini mampu memberi input positif kepada kita semua, Insya-Allah.

    Semoga bertemu semula dalam artikel yang lain. Percayalah pada diri sendiri, kerana tidak ada kurangnya pada diri anda. 'You are what you think you are, so think only the best and the best will come to you'.

Ahad, 8 April 2012

Ada apa dengan sukses?

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

        Untuk post pada hari ini ingin saya memperkatakan tentang konsep kejayaan. Kejayaan memang indah, kejayaan itu amat manis, kejayaan ada auranya yang tersendiri. Beruntunglah mereka yang berjaya. Namun, adakah kita faham makna sebenar kejayaan? Kejayaan menjadi manis apabila kita telah mencapainya dengan menggunakan inisiatif dan daya usaha sendiri. Tika itu, terasa dunia ini milik kita. Pernahkah anda mengalami perasaan begini? Saya yakin, kebanyakan dari kita pernah merasainya. Kejayaan pertama akan membawa kepada kejayaan yang berulang. Hal ini berlaku kerana kita telah menjadi pakar atau telah mendapat pengalaman. Justeru, kejayaan yang dimiliki akan di'up-grade' lagi bagi mencapai lebih banyak kejayaan. Pun begitu, bukan semua usaha kita akan mencapai kejayaan. Namun, percayalah, kita juga dikatakan berjaya walaupun gagal mencapai apa yang diingini. Bagaimana ia berlaku? Sebenarnya, kejayaan yang hakiki ialah apabila kita mendapat redha Allah S.W.T. Redha Allah itulah yang amat didamba-dambakan oleh orang mukmin kerana redha Ilahi membawa kepada syurga-Nya yang kekal abadi.
       Justeru, cubalah melihat kejayaan berdasarkan skop yang luas. Aktifkan  minda, luaskan pengalaman dan bukalah hati. Setiap usaha yang kita lakukan pasti ada kemanisannya. Jika kita berjaya, alhamdulillah, maka terbayar juga penat-lelah kita selama ini. Namun, andai kata gagal, kita harus sabar dan tabah. Sebenarnya, dalam hal ini kita juga dikatakan telah berjaya. Berjaya mengawal emosi dan hasilnya kita menjadi insan yang lebih kuat. Bukankah itu juga makna kejayaan yang sebebar? Justeru, sama-samalah kita berusaha untuk menggapai impian kita, kerana hakikatnya kita tetap berjaya walau apapun keputusannya, Insya-Allah.
       Dalam masa yang sama, berusahalah untuk mencapai kejayaan dengan menggunakan pendekatan atau strategi yang berbeza. Insya-Allah, kejayaan pasti berada dalam genggaman kita. Akhir kalam untuk post kali ini, salam maju jaya..