Ahad, 8 April 2012

Ada apa dengan sukses?

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

        Untuk post pada hari ini ingin saya memperkatakan tentang konsep kejayaan. Kejayaan memang indah, kejayaan itu amat manis, kejayaan ada auranya yang tersendiri. Beruntunglah mereka yang berjaya. Namun, adakah kita faham makna sebenar kejayaan? Kejayaan menjadi manis apabila kita telah mencapainya dengan menggunakan inisiatif dan daya usaha sendiri. Tika itu, terasa dunia ini milik kita. Pernahkah anda mengalami perasaan begini? Saya yakin, kebanyakan dari kita pernah merasainya. Kejayaan pertama akan membawa kepada kejayaan yang berulang. Hal ini berlaku kerana kita telah menjadi pakar atau telah mendapat pengalaman. Justeru, kejayaan yang dimiliki akan di'up-grade' lagi bagi mencapai lebih banyak kejayaan. Pun begitu, bukan semua usaha kita akan mencapai kejayaan. Namun, percayalah, kita juga dikatakan berjaya walaupun gagal mencapai apa yang diingini. Bagaimana ia berlaku? Sebenarnya, kejayaan yang hakiki ialah apabila kita mendapat redha Allah S.W.T. Redha Allah itulah yang amat didamba-dambakan oleh orang mukmin kerana redha Ilahi membawa kepada syurga-Nya yang kekal abadi.
       Justeru, cubalah melihat kejayaan berdasarkan skop yang luas. Aktifkan  minda, luaskan pengalaman dan bukalah hati. Setiap usaha yang kita lakukan pasti ada kemanisannya. Jika kita berjaya, alhamdulillah, maka terbayar juga penat-lelah kita selama ini. Namun, andai kata gagal, kita harus sabar dan tabah. Sebenarnya, dalam hal ini kita juga dikatakan telah berjaya. Berjaya mengawal emosi dan hasilnya kita menjadi insan yang lebih kuat. Bukankah itu juga makna kejayaan yang sebebar? Justeru, sama-samalah kita berusaha untuk menggapai impian kita, kerana hakikatnya kita tetap berjaya walau apapun keputusannya, Insya-Allah.
       Dalam masa yang sama, berusahalah untuk mencapai kejayaan dengan menggunakan pendekatan atau strategi yang berbeza. Insya-Allah, kejayaan pasti berada dalam genggaman kita. Akhir kalam untuk post kali ini, salam maju jaya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan