Rabu, 6 Jun 2012

Pemikiran Global vs Pemikiran jumud.

     Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kita dalam catatan pagi, moga setiap dari kita mendapat rahmat dariNya, insya-Allah. Pagi yang mendamaikan ini bertambah berseri lagi  dengan kehadiran siulan burung-burung yang menggamit jiwa. Segala kesyukuran haruslah dipanjatkan kepada Allah S.W.T yang telah memberi nikmat kesihatan kepada kita. Justeru itu, dapatlah kita menikmati pagi nan indah ini bersama secangkir kopi disisi.

     Saya terpanggil untuk menulis artikel ini sewaktu sedang menunggu giliran di salah satu kaunter pembayaran bil. Sedang asyik menunggu, saya melihat ramai orang yang sedang meunggu; menanti giliran seperti saya juga. Ada yang sedang duduk menyilangkan kaki; ada yang duduk sambil menekan punat di handset dan tidak kurang juga yang termenung dikerusi sambil menanti giliran nombor dipanggil. Situasi ini juga kerap berlaku di dalam komuter di mana penumpang hanya duduk melayan diri tanpa melakukan apa-apa. Banyak sungguh berlaku pembaziran masa di sini. Alangkah baik jika masa sedang menunggu tersebut diisi dengan aktiviti bermanfaat seperti membaca. Situasi ini sangat jarang berlaku di negara matahari terbit; iaitu Jepun. Rakyat mereka sangat gemar membaca. Di mana-mana sahaja jika terdapat masa terulang, mereka akan isi masa dengan membaca. Hatta, dalam 'bilik termenung' pun mereka akan membaca.

    Disini, apakah kepentingan membaca kepada kita? Membaca adalah proses menyaring maklumat di dalam minda supaya dapat diterjemahkan sebagai makna kepada kita. Membaca merupakan wadah yang paling ampuh untuk menjana idea-idea yang bernas. Dengan membaca akan timbul semangat dalam diri kita untuk berjaya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kejarlah apa yang berguna untukmu, minta bantuan daripada Allah dan jangan lemah. Apabila ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: 'Kalau begini, nescaya tidak akan begitu.' Akan tetapi katakanlah: 'Ini takdir Allah.' Sesungguhnya 'kalau' akan membuka pintu syaitan." (Riwayat Muslim) Justeru, hendaklah kita mempunyai sifat suka membaca agar terbit dalam diri semangat dan cita-cita tinggi untuk berjaya. Slogan 'Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya' ada benarnya. Cubalah kita lihat bangsa Jepun itu sendiri. Mereka merupakan bangsa berjaya. Pemikiran global mereka terjana melalui sikap suka membaca. Cuba pula kita lihat bangsa yang jumud. Pemikiran mereka sangat cetek justeru tidak mengamalkan suka membaca. Tindakan mereka adalah ikut-ikutan. Pemikiran bangsa yang jumud ini mudah terjajah. Mereka tidak mempunyai jati diri yang tinggi. Bangsa yang sedemikian rupanya akan mudah terbawa-bawa dengan budaya hedonisme. Justeru itu, jika anda sayangkan bangsa, amalkanlah budaya suka membaca.

   Sekadar meminjam kata-kata Jim Rohn, 'Formal education will make you a living, but self-education will make you a fortune'. Setakat ini dahulu untuk post kali ini, salam maju jaya dari saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan