Sabtu, 14 Julai 2012

Syukur, satu sains kehidupan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

        Tatkala catatan ini ditulis, saya memerhatikan gelagat manusia disekeliling. Ada yang berjalan dengan penuh yakin, senyuman terukir dibibir, dan ada juga  berjalan dengan langkah yang longlai, wajah lesu  mempamerkan kesedihan. Terdetik di hati, apakah perkara yang bermain di minda setiap manusia sehinggakan perilaku mereka berbeza-beza. Hakikatnya mereka tetap sama iaitu masih manusia, masih bernyawa, dan masih diberikan peluang untuk mencipta kejayaan.

       Setelah beberapa ketika, setelah membaca dan mengkaji, saya ketemu dengan satu disiplin yang cukup menarik; iaitu disiplin syukur. Syukur merupakan disiplin sains yang semakin dipinggirkan. Mengapa ini berlaku? Sifat manusia yang tidak puas dengan apa yang ada sentiasa berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kekayaan. Bagi mereka, kekayaan adalah segala-galanya. Kaya memberikan kebahagiaan. Kaya kunci mencapai apa yang dihajati. Kaya menjadikan kita manusia mulia dan terpandang. Kaya memberikan ketenangan jiwa. Benarkah begitu? Namun, mengapa sejarah menyimpan kisah-kisah manusia kaya yang gersang jiwanya. Si kaya yang sombong. Mereka yang kaya namun mengalami keruntuhan institusi kekeluargaan. Marilyn Monroe, si jelita yang menjadi lagenda, namun mengalami pengakhiran hidup yang menyedihkan. Begitu juga Amy Winehouse, Michael Jackson, Kurt Cobain yang maut akibat mengambil dadah secara berlebihan. Mereka semuanya kaya namun tidak bahagia. Kenapakah situasi ini berlaku? Jawapannya mereka kekurangan satu elemen nilai dalam diri yang amat penting iaitu syukur.

        Syukur merupakan motivasi dan daya penggerak manusia. Syukur juga merupakan intipati kepada jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang membuahkan kebahagiaan dan kejayaan yang gemilang. Satu kisah yang boleh menjadi inspirasi kepada kita ialah kejadian yang menimpa W. Mitchell. Beliau terbabit dalam kemalangan dengan sebuah trak yang menyebabkan sebahagian besar badannya mengalami "third-degree burns". Sesetengah insan lain mungkin akan mengalami stress dan meminggirkan diri dari arus kehidupan. Apakah reaksi W. Mitchell? Beliau sebaliknya mengambil pendekatan bersyukur masih dapat hidup. Beliau secara konsisten berkomunikasi pada diri yang pengalaman itu terjadi sebagai mempunyai hikmah disebaliknya. Beliau meneruskan bisnesnya dan tidak pernah berpaling ke belakang lagi, walaupun selepas itu beliau terbabit pula dengan kemalangan udara yang menyebabkannya lumpuh dari pinggang ke bawah. Beliau masih mampu tersenyum dan bersyukur kerana dapat hidup lagi, dan terus mencipta kejayaan yang seterusnya.

          Firman Allah SWT:  "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim 14:7)

         Sekiranya W. Mitchell seorang bukan Islam mampu mengambil hikmah di atas apa yang terjadi dan sentiasa mengamalkan konsep bersyukur; apatah lagi kita sebagai Muslim dan Muslimah. Fikir-fikirkanlah..
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan