Rabu, 30 Mei 2012

Words Wisdom

    Bijak pandai pernah berkata "Sebatang pena itu lebih tajam daripada pedang". Persoalannya, kenapa pena amat berkuasa, sedangkan ia sekadar alat untuk menulis yang diisi dengan dakwat?
    Seseorang yang gemar membaca dan menulis tentu amat faham dengan perumpamaan di atas. Perkataan boleh merubah semangat individu daripada positif ke negatif, dan begitulah sebaliknya.
 
  ''Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit"- Surah Ibrahim.

      Justeru, kita harus berhati-hati dengan setiap patah perkataan yang dikeluarkan. Cuba biasakan diri bercakap hanya perkara positif dan berfaedah. Ok, jika anda masih kurang bersetuju dengan apa yang saya utarakan; cuba kita lakukan sedikit eksperimen.
   
    Cuba bayangkan anda sedang berjalan, tiba-tiba terdapat sebatang longkang yang agak lebar menghalang jalan anda ke seberang. Bagi mereka yang berhati kecut, sudah tentu akan berundur kerana tanpa disedari dia berkata dalam hatinya 'Kalau lompat, mesti jatuh ni'. Tapi bagi mereka yang tidak ada jalan lain ke seberang akan bertegas dalam diri dan berkata, 'Aku mesti berjaya lompat ke seberang', dan begitulah hasilnya dia akan berjaya.
 
  Sememangnya bagi yang berfikiran positif, tidak ada kesukaran baginya untuk bercakap perkara positif. Setiap patah perkataannya umpama tenaga yang mampu menghasilkan impak yang cemerlang. Jadi, cabaran saya untuk anda, dalam seminggu ini, bercakap dan berfikirlah hanya perkara yang positif dan baik-baik. Insya-Allah, anda pasti dapat rasakan perbezaannya dalam hidup. Oh, ya sebelum saya terlupa, dalam tempoh tersebut, hendaklah anda bergaul dan bercakap dengan mereka yang berfikiran positif juga. Bukan tak boleh bergaul dengan yang berfikiran negatif, cuma hadkan saja. Anda tentu faham maksud saya bukan.
Baiklah, semoga berjaya..

Isnin, 7 Mei 2012

Sajak- Sekadar renungan

Di desa kedamaian ini,
aku melihat puing-puing kemusnahan yang lalu,
dek cemar dosa manusia.
Mereka dahulunya begitu gah,
dengan bangunan, istana yang kukuh,
kagum dan hairan dengan kebijaksanaan,
dan tubuh sasa kurniaan Tuhan.
Megah dengan teknologi canggih,
yang dengannya bangsa lemah, mundur,
tunduk kepadanya.

Mereka yang dahulunya suara,
umpama guruh,
melaungkan misi kedamaian,
kesatuan manusia,
hidup serba kemewahan,
hakikatnya cuba menutup,
kelemahan dan kejahatan diri.

Sedarlah !
Segala-galanya akan terkubur,
bangunan, istana nan gah akan runtuh,
diri akan hancur dimamah bumi,
teknologi tak bisa melawan takdir Tuhan,
yang tinggal cuma puing-puing kemusnahan yang lalu,
akibat kejahatan manusia.

Insaflah !
Kebesaran itu milik Allah,
hanya kepada-Nyalah segala sanjungan.
Jangan sombong dan megah,
kerana ia umpama oasis,
di padang pasir, nampak realiti,
hakikatnya fantasi ...