Sabtu, 4 Ogos 2012

Hidayah itu milik Allah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

           'Jom kita pergi masjid. Solat di masjid lebih afdal dan lebih besar pahalanya.' 'Alah, kau pergilah dulu. Aku letih ni. Solat kat rumah je', Leman menarik semula selimut di badan. Ahmad mengelang-gelangkan kepalanya. Sampai sekarang, sudah banyak kali dia mengajak kawannya itu solat subuh berjemaah di masjid dekat kawasan perumahan mereka. Namun hati Leman tidak tergerak sedikit pun untuk mengikuti Ahmad. Kadang-kadang Ahmad menyalahkan dirinya kerana tidak pandai memujuk Leman . Pernahkah anda mengalami situasi seperti di atas? Anda kecewa kerana tidak berjaya memujuk orang yang paling rapat dengan anda ke arah kebaikan. Tatkala perasaan ini menyelinap dalam diri anda, kenangkanlah perasaan junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhamad s.a.w., apabila ajakan Baginda memeluk agama Islam ditolak oleh Abu Lahab, bapa saudara Nabi sendiri. Sudah pasti, hati Nabi amat sedih bukan. Begitu juga keadannya dengan Nabi Nuh dan anaknya; Nabi Ibrahim dengan bapanya. Walaupun terdapat figure besar dalam keluarga sekalipun, tidak bermakna mendapat hidayah jika bukan dari Allah.

          Allah berfirman yang bermaksud: "Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-olah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman." (Surah Al-An'am, ayat 125)

         Justeru itu, pendekatan yang boleh dilakukan dalam berdakwah ialah mengajak dengan hikmah atau kebijaksanaan; dan memberi contoh teladan yang baik serta bertukar-tukar fikiran @ berdialog dengan cara yang baik.

         "Leman, jom pergi solat". "Iyalah aku ikut ni". Leman bingkas bangun lalu mengambil wuduk dan mengenakan pakaian bersih. Ahmad tersenyum. Alhamdulillah, doanya yang tidak putus agar memberi hidayah kepada kawannya ini dimakbulkan Allah.

Imaginasi Cemerlang.

Assalamualaikum..

      Bulan Ramadhan sudah hampir tiba melabuhkan tirainya. Sudahkan kita beramal dengan sepenuhnya dalam bulan penuh barakah ini? Jika belum, masih belum terlewat menghiasinya dengan amal soleh dan amal ibadah kepadaNya. Insya-Allah, moga satu Syawal yang bakal menjelma, kita akan menjadi individu baru yang penuh dengan keiltizaman untuk berjaya.

      Bercakap mengenai soal kejayaan, hari ini saya ingin memperkatakan tentang satu konsep yang saya ketemu dalam buku Unlimited Power. Bagi saya buku ini sangat hebat kerana ia mempunyai informasi yang sarat tentang  sains dalam pembangunan diri. Sebagai individu kita semestinya tidak dapat lari daripada mempunyai tabiat negatif yang secara tidak sedar telah bersarang dalam diri kita sejak dahulu lagi. Contohnya, suka menangguhkan kerja, menggigit kuku jari, suka tidur lewat malam dan sebaginya. Kita sedar tabiat tersebut tidak elok untuk kemajuan diri dan cuba untuk merubahnya. Namun, peta yang menjadi laluan tabiat  dalam minda begitu kukuh sehinggakan menjadi sebahagian dari diri kita. Anda frust, kecewa..... Jika anda sudah bertemu dengan jalan buntu, apa kata cuba aplikasikan strategi yang akan saya kongsi nanti; 'Slipshot Swish Pattern'. Cuba anda bayangkan gambar anda dengan tabiat negatif di tengah-tengah. Kemudian, bayangkan pula gambar anda dengan tabiat baru yang diingini (tabiat positif), yang diletakkan pada lastik. Lastik tersebut dijarakkan sejauh mungkin daripada gambar anda ditengah-tengah tadi. Setelah itu, lepaskan lastik dan lihatlah gambar kecil (tabiat positif) anda menembus ditengah-tengah gambar anda (tabiat negatif) sehinggakan tidak lagi kelihatan gambar tersebut. Yang anda hanyalah gambar anda dengan tabiat baru yang diingini. (tabiat positif)

        Cuba anda lakukan strategi ini berulang kali sehingga tabiat baru yang positif benar-benar menjadi sebahagian dari diri anda. Akhir kalam, ciptalah imaginasi cemerlang demi masa depan yang gemilang.

Sabtu, 14 Julai 2012

Syukur, satu sains kehidupan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

        Tatkala catatan ini ditulis, saya memerhatikan gelagat manusia disekeliling. Ada yang berjalan dengan penuh yakin, senyuman terukir dibibir, dan ada juga  berjalan dengan langkah yang longlai, wajah lesu  mempamerkan kesedihan. Terdetik di hati, apakah perkara yang bermain di minda setiap manusia sehinggakan perilaku mereka berbeza-beza. Hakikatnya mereka tetap sama iaitu masih manusia, masih bernyawa, dan masih diberikan peluang untuk mencipta kejayaan.

       Setelah beberapa ketika, setelah membaca dan mengkaji, saya ketemu dengan satu disiplin yang cukup menarik; iaitu disiplin syukur. Syukur merupakan disiplin sains yang semakin dipinggirkan. Mengapa ini berlaku? Sifat manusia yang tidak puas dengan apa yang ada sentiasa berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kekayaan. Bagi mereka, kekayaan adalah segala-galanya. Kaya memberikan kebahagiaan. Kaya kunci mencapai apa yang dihajati. Kaya menjadikan kita manusia mulia dan terpandang. Kaya memberikan ketenangan jiwa. Benarkah begitu? Namun, mengapa sejarah menyimpan kisah-kisah manusia kaya yang gersang jiwanya. Si kaya yang sombong. Mereka yang kaya namun mengalami keruntuhan institusi kekeluargaan. Marilyn Monroe, si jelita yang menjadi lagenda, namun mengalami pengakhiran hidup yang menyedihkan. Begitu juga Amy Winehouse, Michael Jackson, Kurt Cobain yang maut akibat mengambil dadah secara berlebihan. Mereka semuanya kaya namun tidak bahagia. Kenapakah situasi ini berlaku? Jawapannya mereka kekurangan satu elemen nilai dalam diri yang amat penting iaitu syukur.

        Syukur merupakan motivasi dan daya penggerak manusia. Syukur juga merupakan intipati kepada jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang membuahkan kebahagiaan dan kejayaan yang gemilang. Satu kisah yang boleh menjadi inspirasi kepada kita ialah kejadian yang menimpa W. Mitchell. Beliau terbabit dalam kemalangan dengan sebuah trak yang menyebabkan sebahagian besar badannya mengalami "third-degree burns". Sesetengah insan lain mungkin akan mengalami stress dan meminggirkan diri dari arus kehidupan. Apakah reaksi W. Mitchell? Beliau sebaliknya mengambil pendekatan bersyukur masih dapat hidup. Beliau secara konsisten berkomunikasi pada diri yang pengalaman itu terjadi sebagai mempunyai hikmah disebaliknya. Beliau meneruskan bisnesnya dan tidak pernah berpaling ke belakang lagi, walaupun selepas itu beliau terbabit pula dengan kemalangan udara yang menyebabkannya lumpuh dari pinggang ke bawah. Beliau masih mampu tersenyum dan bersyukur kerana dapat hidup lagi, dan terus mencipta kejayaan yang seterusnya.

          Firman Allah SWT:  "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim 14:7)

         Sekiranya W. Mitchell seorang bukan Islam mampu mengambil hikmah di atas apa yang terjadi dan sentiasa mengamalkan konsep bersyukur; apatah lagi kita sebagai Muslim dan Muslimah. Fikir-fikirkanlah..
      

Rabu, 4 Julai 2012

Apakah nikmat itu pahit.. atau musibah itu manis? Fikir-fikirkanlah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

          Bertemu semula dalam ruangan catatan Andalah Pencipta Sejarah. Pada catatan kali ini ingin sekali saya memperkatakan tentang soal hati. Persoalan hati merupakan isu yang popular sepanjang zaman. Ianya menjadi semakin hangat dewasa ini apabila masyarakat menghadapi masalah gejala sosial yang kian meruncing. Tahukah anda punca kekalutan ini? Jawapannya ialah masyarakat kita semakin manja. Teknologi dan gaya hidup yang tidak sihat menjadikan kita semakin manja. Jika anda tidak bersetuju, mari kita hayati catatan saya pada hari ini.

         Hati sifatnya begitu halus. Jika mendapat nikmat, ia gembira, tetapi jika terkena musibah, ia akan berkeluh-kesah. Begitulah sifat hati yang digambarkan sendiri di dalam al-Quran. Justeru, bagaimana untuk menghadapi fenomena hati ini? Tidak lain melainkan hati kembali tunduk kepada Allah SWT. Setiap individu perlu sedar yang Allah menyediakan hikmah kepada hamba-Nya yang diuji. Daripada Abd. al-Rahman b. Azhar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,"Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.

       Sifat hati juga merasa gembira tatkala mendapat nikmat. Nikmat perlu disyukuri bukan perkara untuk dibangga-banggakan. Persoalannya, benarkah apa yang kita suka itu baik untuk kita atau pun musibah yang kita cuba elak itu adalah yang terbaik buat kita?

      Firman Allah,
      "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya"- Surah al-Baqarah 2:216

      Cuba kita ambil satu kisah seorang lelaki yang dipenjarakan. Beliau menghabiskan masanya di penjara dengan berkarya. Antara karyanya yang hebat bertajuk,'Tenggelamnya Kapal van der wijck'. Beliau ialah Allahyarham Prof. Hamka. Kisah yang lain pula, seorang wanita yang berpisah dengan suaminya terpaksa membesarkan anak-anaknya seorang diri. Kini beliau bergelar seorang jutawan dengan menerbitkan novel Harry Potter. Beliau ialah JK Rowling.

      Mengikut pakar motivasi Anthony Robbins, "Anything you want that's valuable requires that you break through some short-term pain in order to gain long term pleasure". Di sini apa yang berlaku pada diri kita tidak penting, tetapi apa yang kita tafsir daripada pengalaman itulah yang penting. Justeru itu, pendekatan terbaik dalam menghadapi sesuatu sama-ada musibah atau nikmat ialah dengan menganggap hidup ini merupakan sekolah pengalaman. Umpama masakan yang terhasil daripada kombinasi pelbagai bahan dan rempah-ratus, begitulah juga hidup itu sendiri.

      Semoga hati kita mampu menerima segala ketentuan Ilahi dengan lapang dada, kerana sesungguhnya apa yang ditakdirkan Allah SWT itulah yang terbaik buat kita.

    

Selasa, 26 Jun 2012

Sederhana, mendekati fitrah.

      
       Sederhana, dalam perkataan Arabnya; wasatiyyah, dan dalam bahasa Inggerisnya moderate. Sederhana yang dimaksudkan di sini ialah bersederhana dalam berpakaian, gaya hidup , tingkah laku dan dalam perbelanjaan kita sehari-hari. Kenapa kita perlu sederhana sedangkan gaya hidup moden sekarang menuntut kita nampak hebat agar dihormati dan disegani. Saya ingin bertanya, hebatkah kita jika terpaksa berhutang keliling pinggang hanya untuk nampak mewah? Tenangkah kita, tidur di malam hari memikirkan keselamatan harta benda dalam rumah? Bahagiakah kita bekerja siang dan malam mencari duit sedangkan anak, isteri di rumah kegersangan kasih sayang?

       Saudaraku sekalian, kebahagiaan tidak boleh diukur dengan kemewahan harta benda, jauh sekali dengan kehebatan individu dari segi populariti dan penampilan. Kebahagiaan adalah subjektif sifatnya. Namun, untuk bahagia ada prasyaratnya. Apakah syarat-syarat untuk bahagia? Untuk bahagia memerlukan jiwa yang tenang dan damai. Mana mungkin bahagia bertamu dalam hati mereka yang penuh hasad dengki, pendendam, penuh kebencian dan hanya mementingkan diri sendiri. Bahagia hanyalah untuk mereka yang selalu menghulurkan senyuman ikhlas pada setiap manusia: sentiasa berbuat amal kebajikan kerana Allah SWT dan sentiasa muhasabah diri agar menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah. Antara syarat yang lain untuk bahagia ialah sederhana atau wasatiyyah.

      Fitrah manusia sewaktu lahir adalah suci dan murni. Umpama kain putih, begitulah persisnya ungkapan sederhana. Sederhana dalam makan minum, kita akan menjadi lebih sihat. Sederhana dalam percakapan, kita akan lebih banyak bekerja dan ini akan meningkatkan produktiviti. Sederhana dalam perbelanjaan, kita akan berjimat cermat dan dapat merancang kewangan dengan lebih baik. Begitulah sifatnya sederhana, akan memberi kejayaan pada pengamalnya. Justeru itu, bersederhanalah anda, kerana sederhana mendekati fitrah.

Ahad, 24 Jun 2012

Apakah impian anda?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

          Impian.. Seindah namanya, semurninya tujuannya, impian merupakan dorongan terbesar manusia dalam hidup. Jadi, apakah impian anda? Jika anda tiada impian, maka sudah pasti anda cuma individu biasa. Individu biasa melewati denai kehidupan dengan pandangan kosong. Cuba tanya pada diri, apakah impian saya. Sewaktu kecil, tatkala ditanya apa adik nak jadi bila besar nanti, maka keluarlah impian yang besar-besar.. doktor, peguam, cikgu, pensyarah, ahli astronomi, ahli perniagaan malah ultraman sekalipun. Tapi apabila usia meninjak dewasa, mengapa segala impian terkubur begitu sahaja? Mengapa tidak direalisasikan impian yang telah kita pupuk sewaktu kecil?

        Tahukah kita, sewaktu impian anda sudah tiada, hidup mula hambar dan kosong. Tiada lagi pelangi memanyungi perjalanan hidup. Tiada lagi keghairahan untuk hidup. Yang ada cuma seorang individu biasa yang melaksanakan tugas-tugas hariannya sekadar untuk meneruskan kelansungan hidup. Mahukah anda melewati hari-hari yang menghambarkan seperti itu? Kawan, menempuh hari tanpa impian besar adalah sangat panjang dan membosankan. Garis senyuman di bibir juga tidak semanis dan seceria sewaktu  kecil-kecil dulu.

        Jadi, apakah impian anda? Jika anda sudah menyakini kepentingan impian, masih tidak terlewat untuk menghidupkannya semula. Di sini saya ingin membawa satu kisah benar, impian seorang pemuda untuk menjadi rakan kongsi kepada Thomas Alva Edison, seorang pencipta terulung pada zamannya. Edwin C. Barnes pada ketika itu hanyalah insan biasa. Tapi, beliau mempunyai cita-cita besar iaitu  menjadi rakan kongsi kepada Edison. Itulah cita-cita dan obsesinya, tiada yang lain sehinggakan beliau mengatakan, "I will burn all bridges behind me, and stake my entire future on my ability to get what I want".

       Pada mulanya, Barnes hanyalah pekerja biasa dalam organisasi Edison; melakukan kerja-kerja yang tidak penting. Tetapi, impian Barnes semakin bersemarak dari sehari ke sehari sehinggalah terjadi satu kejadian yang telah memungkinkannya untuk menjadi rakan kongsi kepada Edison. Tatkala Edison berjaya mencipta Ediphone (Edison Dictating Machine), jurujual dalam organisasi Edison tidak percaya yang ia mampu terjual kecuali Barnes. Barnes tahu yang dia mampu menjual alat tersebut. Dia akhirnya mendapat kepercayaan Edison menjual alat tersebut. Dia bukan sahaja dapat mejualnya, tetapi berjaya menjual dengan cemerlangnya sehinggakan Edison memberi kontrak  untuk memasarkannya ke seluruh negara.

       Jadi, apakah pengajaran daripada cerita di atas? Ya, impianlah pencetus kejayaan Barnes. Segala-galanya bermula dengan impian. Impian yang membara untuk merealisasikannya.