Rabu, 4 Julai 2012

Apakah nikmat itu pahit.. atau musibah itu manis? Fikir-fikirkanlah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

          Bertemu semula dalam ruangan catatan Andalah Pencipta Sejarah. Pada catatan kali ini ingin sekali saya memperkatakan tentang soal hati. Persoalan hati merupakan isu yang popular sepanjang zaman. Ianya menjadi semakin hangat dewasa ini apabila masyarakat menghadapi masalah gejala sosial yang kian meruncing. Tahukah anda punca kekalutan ini? Jawapannya ialah masyarakat kita semakin manja. Teknologi dan gaya hidup yang tidak sihat menjadikan kita semakin manja. Jika anda tidak bersetuju, mari kita hayati catatan saya pada hari ini.

         Hati sifatnya begitu halus. Jika mendapat nikmat, ia gembira, tetapi jika terkena musibah, ia akan berkeluh-kesah. Begitulah sifat hati yang digambarkan sendiri di dalam al-Quran. Justeru, bagaimana untuk menghadapi fenomena hati ini? Tidak lain melainkan hati kembali tunduk kepada Allah SWT. Setiap individu perlu sedar yang Allah menyediakan hikmah kepada hamba-Nya yang diuji. Daripada Abd. al-Rahman b. Azhar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,"Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.

       Sifat hati juga merasa gembira tatkala mendapat nikmat. Nikmat perlu disyukuri bukan perkara untuk dibangga-banggakan. Persoalannya, benarkah apa yang kita suka itu baik untuk kita atau pun musibah yang kita cuba elak itu adalah yang terbaik buat kita?

      Firman Allah,
      "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya"- Surah al-Baqarah 2:216

      Cuba kita ambil satu kisah seorang lelaki yang dipenjarakan. Beliau menghabiskan masanya di penjara dengan berkarya. Antara karyanya yang hebat bertajuk,'Tenggelamnya Kapal van der wijck'. Beliau ialah Allahyarham Prof. Hamka. Kisah yang lain pula, seorang wanita yang berpisah dengan suaminya terpaksa membesarkan anak-anaknya seorang diri. Kini beliau bergelar seorang jutawan dengan menerbitkan novel Harry Potter. Beliau ialah JK Rowling.

      Mengikut pakar motivasi Anthony Robbins, "Anything you want that's valuable requires that you break through some short-term pain in order to gain long term pleasure". Di sini apa yang berlaku pada diri kita tidak penting, tetapi apa yang kita tafsir daripada pengalaman itulah yang penting. Justeru itu, pendekatan terbaik dalam menghadapi sesuatu sama-ada musibah atau nikmat ialah dengan menganggap hidup ini merupakan sekolah pengalaman. Umpama masakan yang terhasil daripada kombinasi pelbagai bahan dan rempah-ratus, begitulah juga hidup itu sendiri.

      Semoga hati kita mampu menerima segala ketentuan Ilahi dengan lapang dada, kerana sesungguhnya apa yang ditakdirkan Allah SWT itulah yang terbaik buat kita.

    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan