Ahad, 24 Jun 2012

Apakah impian anda?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

          Impian.. Seindah namanya, semurninya tujuannya, impian merupakan dorongan terbesar manusia dalam hidup. Jadi, apakah impian anda? Jika anda tiada impian, maka sudah pasti anda cuma individu biasa. Individu biasa melewati denai kehidupan dengan pandangan kosong. Cuba tanya pada diri, apakah impian saya. Sewaktu kecil, tatkala ditanya apa adik nak jadi bila besar nanti, maka keluarlah impian yang besar-besar.. doktor, peguam, cikgu, pensyarah, ahli astronomi, ahli perniagaan malah ultraman sekalipun. Tapi apabila usia meninjak dewasa, mengapa segala impian terkubur begitu sahaja? Mengapa tidak direalisasikan impian yang telah kita pupuk sewaktu kecil?

        Tahukah kita, sewaktu impian anda sudah tiada, hidup mula hambar dan kosong. Tiada lagi pelangi memanyungi perjalanan hidup. Tiada lagi keghairahan untuk hidup. Yang ada cuma seorang individu biasa yang melaksanakan tugas-tugas hariannya sekadar untuk meneruskan kelansungan hidup. Mahukah anda melewati hari-hari yang menghambarkan seperti itu? Kawan, menempuh hari tanpa impian besar adalah sangat panjang dan membosankan. Garis senyuman di bibir juga tidak semanis dan seceria sewaktu  kecil-kecil dulu.

        Jadi, apakah impian anda? Jika anda sudah menyakini kepentingan impian, masih tidak terlewat untuk menghidupkannya semula. Di sini saya ingin membawa satu kisah benar, impian seorang pemuda untuk menjadi rakan kongsi kepada Thomas Alva Edison, seorang pencipta terulung pada zamannya. Edwin C. Barnes pada ketika itu hanyalah insan biasa. Tapi, beliau mempunyai cita-cita besar iaitu  menjadi rakan kongsi kepada Edison. Itulah cita-cita dan obsesinya, tiada yang lain sehinggakan beliau mengatakan, "I will burn all bridges behind me, and stake my entire future on my ability to get what I want".

       Pada mulanya, Barnes hanyalah pekerja biasa dalam organisasi Edison; melakukan kerja-kerja yang tidak penting. Tetapi, impian Barnes semakin bersemarak dari sehari ke sehari sehinggalah terjadi satu kejadian yang telah memungkinkannya untuk menjadi rakan kongsi kepada Edison. Tatkala Edison berjaya mencipta Ediphone (Edison Dictating Machine), jurujual dalam organisasi Edison tidak percaya yang ia mampu terjual kecuali Barnes. Barnes tahu yang dia mampu menjual alat tersebut. Dia akhirnya mendapat kepercayaan Edison menjual alat tersebut. Dia bukan sahaja dapat mejualnya, tetapi berjaya menjual dengan cemerlangnya sehinggakan Edison memberi kontrak  untuk memasarkannya ke seluruh negara.

       Jadi, apakah pengajaran daripada cerita di atas? Ya, impianlah pencetus kejayaan Barnes. Segala-galanya bermula dengan impian. Impian yang membara untuk merealisasikannya.
                 
                                         
                                       
                                                                                   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan