Selasa, 26 Jun 2012

Sederhana, mendekati fitrah.

      
       Sederhana, dalam perkataan Arabnya; wasatiyyah, dan dalam bahasa Inggerisnya moderate. Sederhana yang dimaksudkan di sini ialah bersederhana dalam berpakaian, gaya hidup , tingkah laku dan dalam perbelanjaan kita sehari-hari. Kenapa kita perlu sederhana sedangkan gaya hidup moden sekarang menuntut kita nampak hebat agar dihormati dan disegani. Saya ingin bertanya, hebatkah kita jika terpaksa berhutang keliling pinggang hanya untuk nampak mewah? Tenangkah kita, tidur di malam hari memikirkan keselamatan harta benda dalam rumah? Bahagiakah kita bekerja siang dan malam mencari duit sedangkan anak, isteri di rumah kegersangan kasih sayang?

       Saudaraku sekalian, kebahagiaan tidak boleh diukur dengan kemewahan harta benda, jauh sekali dengan kehebatan individu dari segi populariti dan penampilan. Kebahagiaan adalah subjektif sifatnya. Namun, untuk bahagia ada prasyaratnya. Apakah syarat-syarat untuk bahagia? Untuk bahagia memerlukan jiwa yang tenang dan damai. Mana mungkin bahagia bertamu dalam hati mereka yang penuh hasad dengki, pendendam, penuh kebencian dan hanya mementingkan diri sendiri. Bahagia hanyalah untuk mereka yang selalu menghulurkan senyuman ikhlas pada setiap manusia: sentiasa berbuat amal kebajikan kerana Allah SWT dan sentiasa muhasabah diri agar menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah. Antara syarat yang lain untuk bahagia ialah sederhana atau wasatiyyah.

      Fitrah manusia sewaktu lahir adalah suci dan murni. Umpama kain putih, begitulah persisnya ungkapan sederhana. Sederhana dalam makan minum, kita akan menjadi lebih sihat. Sederhana dalam percakapan, kita akan lebih banyak bekerja dan ini akan meningkatkan produktiviti. Sederhana dalam perbelanjaan, kita akan berjimat cermat dan dapat merancang kewangan dengan lebih baik. Begitulah sifatnya sederhana, akan memberi kejayaan pada pengamalnya. Justeru itu, bersederhanalah anda, kerana sederhana mendekati fitrah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan