Ahad, 3 Jun 2012

Mirrow..mirrow of the world..

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

     Saya kira anda pernah mendengar ayat dalam tajuk di atas. Ya, jika anda pernah menonton atau membaca kisah 'Snow White and The Seven Dwarves'; tentu anda seringkali mendengar perkataan tersebut diucapkan oleh ibu tiri Snow White yang zalim. Dia merupakan permaisuri yang begitu obses dengan kecantikan. Kecantikan adalah segala-gala baginya, sehinggakan sanggup membunuh anak tirinya sendiri. Apabila satu hari cermin ajaib menyatakan yang Snow White jauh lebih cantik darinya, permaisuri tersebut dengan serta merta mengarahkan seorang lelaki membunuh Snow White. Diringkaskan cerita, Snow White terselamat daripada ibu tirinya yang kejam, dan akhirnya berkahwin dengan putera raja yang kacak.

     Apa yang ingin saya perkatakan disini sebenarnya bukanlah cerita Snow White, tetapi mengambil pengajaran daripada cerita tersebut. Oh, ya jika anda nak tahu cerita Snow White dengan lebih detail, bolehlah anda membelinya di kedai buku ya. Baiklah, apakah pengajaran di sebalik cerita ini. Pertama, kecantikan bukanlah segala-galanya. Ianya tidak kekal lama, dan akan sirna dimamah usia. Kedua, jika kita rasa kita cantik, akan ada orang lain yang lebih cantik daripada kita. Justeru, janganlah bangga sangat bila orang kata kita cantik. Namun, tidaklah salah jika kita bersyukur dengan anugerah kurniaan Ilahi.

   Jadi, apakah nilai sebenar seorang insan? Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya, Allah Taala tidak memandang bentuk tubuhmu, kedudukan mahupun harta kekayaanmu. Tetapi, Allah memandang hatimu. Sesiapa yang memiliki hati yang soleh, maka Allah mencintainya. Anak Adam yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa." (Riwayat Muslim dan al-Tabarani). Di sini, apa yang ditekankan disini ialah persoalan hati. 'Di dalam diri kamu terdapat segumpal darah yang jika baik ia, maka baiklah seluruh anggota jasad manusia; ketahuilah sesungguhnya ianya adalah hati'. Oleh kerana begitu pentingnya peranan hati dalam menentukan kehidupan manusia, maka sewajarnyalah kita mengambil berat tentang penjagaannya. Jika untuk sihat kita perlu makan makanan berkhasiat; begitu jugalah hati. Ianya memerlukan makanan yang baik untuk hidup dengan cemerlang. Jadi, apakah makanan bagi hati? Tak lain tak bukan ialah zikir kepada Allah dan melakukan amalan yang diredhaiNya. Selain dari itu, perlulah sentiasa berfikiran positif dan membina imaginasi yang cemerlang. Orang yang berhati baik akan terzahir melalui akhlak dan budi pekerti yang mulia. Oleh kerana orang yang berakhlak mulia mempamerkan wajah yang tenang dan ceria, secara automatik dia akan kelihatan cantik dan menarik. 'Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang'. Justeru, marilah kita berlumba-lumba untuk mencantikkan hati kita agar  kita mampu menjadi individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang, insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan