Selasa, 5 Jun 2012

The Power Within You..

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

    Bertemu kita semula dalam ruangan 'Andalah Pencipta Sejarah'. Manusia.. Apakah yang menjadikan manusia begitu unik? Agama Islam dengan jelas menyatakan manusia merupakan khalifah Allah S.W.T. yang ditugaskan untuk menjalankan tanggungjawab mentadbir alam. Oleh kerana betapa beratnya tugas ini sehinggakan gunung pun tidak tega menanggungnya; maka dikirimkan para Nabi dan Rasul untuk membimbing manusia ke jalan diredhaiNya. Selain itu, manusia dikurniakan akal fikiran bagi menyeimbangkan tugas istimewa ini.

   Sekali lagi, apakah uniknya manusia berbanding ciptaan Allah yang lain? Jawapannya, tentu sekali mindanya. Dikatakan manusia tidak menggunakan keseluruhan potensi yang ada dalam dirinya. Otak manusia mempunyai kemampuan untuk mencari jawapan dengan lebih cepat daripada komputer tercanggih di dunia. Ia memerlukan dua bangunan yang bersaiz World Trade Centre untuk menyimpan kemampuan dan kapasiti otak kita. Alhamdulillah, dengan kehebatan ini kita mampu mencipta kecemerlangan dalam hidup. Segenap kesyukuran haruslah dipanjatkan kepada pencipta manusia itu sendiri; iaitu Allah S.W.T.

   Dengan segala kehebatan dan keunikan ini, kenapa kita tidak mampu mencapai kegemilangan dalam hidup? Kenapa kita tidak berdaya untuk keluar dari kepompong kemiskinan? Kenapa perlu berhadapan dengan situasi perhubungan yang merumitkan? Kenapa perlu hidup sederhana? Kenapa dan kenapa..?! Tatkala usia semakin meningkat, dan tenaga makin berkurang, kita mula menyalahkan takdir apabila pelangi yang diidam-idamkan masih jauh dari genggaman. 'Oh, agaknya takdir telah menentukan nasib aku begini': 'Aku tak berupaya'; malahan ada yang menyalahkan didikan keluarga. Wahai kawan, bukan salah ibu mengandung; bukan juga salah takdir.

   Seperti di medan pertempuran;  strategi juga diperlukan untuk berjaya dalam hidup. Baiklah, pada ruangan kali ini, saya akan menurunkan sedikit tip untuk berjaya. Kita sentiasa menggunakan perkataan untuk menyampaikan maklumat atau keinginan kita bukan?. Tahukah anda, perkataan itu jugalah yang mampu untuk menaik dan menjatuhkan anda. Sekadar mengambil kata-kata pakar motivasi terulung Anthony Robbins; "The power of word, both to create and to destroy". Justeru, gunakanlah setiap patah perkataan kita dengan berhati-hati. Sebagai langkah permulaan, perhatikan setiap emosi kita yang terhasil. Contohnya, apabila terjadi situasi yang menyebabkan kita bengang, perkataan yang tercetus di minda kita ialah 'marah' bukan? Apa kata tukar perkataan itu kepada relaks, atau bertenang. Saya jamin, insya-Allah reaksi anda selepas ini akan berbeza. Anda tidak lagi mempamerkan wajah masam mencuka dan melakukan tindakan agresif. Sikap anda akan lebih terkawal dan stabil.

   Justeru itu, setiap kali anda mengalami perasaan yang kurang enak, cuba amati apakah perkataan yang diproses di dalam minda anda, lalu tukarlah ia dengan perkataan yang lebih positif.

                      "Selamat Mencuba".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan